Memoir Sulung Subky Mahu Wartawan Lebih 'Peka'

KUALA LUMPUR - Walau mungkin majlis pelancaran memoir pertama wartawan veteran Subky Abdul Latif  tidak segah atau semewah sesetengah pelancara buku orang-orang kenamaan lain, tetapi tidak bermakna pengisiannya kosong.

Malah, majlis yang diadakan dicelah-celah kesibukan pesta buku di Midvalley Megamall ini lebih mesra dan santai sifatnya - mungkin sesuai dengan sifat Subky sendiri yang boleh dilihat sendiri kesederhanaan hidup beliau.

"Anak Apak: Memoir Politik Kewartawanan" adalah memoir pertama beliau dan akan disusuli dengan dua naskhah lagi tidak lama lagi.

Majlis pelancaran dirasmikan oleh Sasterawan Negara (sekarang mahu digelar sebagai Sasterawan Rakyat) Datuk A Samad Said.

Menurut Harakahdaily, majlis pelancaran tersebut sepatutnya dirasmikan oleh Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu, tetapi di saat akhir tidak dibenarkan pula oleh pihak penganjur.

BebasMalaysia yang terlewat hadir ke majlis itu turut sempat berbual santai bersama pengasas Harakah ini.

Secara santai, Subky memberi sedikit petua menjadi wartawan (atau manusia secara amnya) agar sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dalam menulis berita mahu pun dalam kehidupan, selain sentiasa mempunyai buku nota.

Dalam pada itu, beliau turut memberi sedikit rahsia mengenai memoir ketiganya yang dalam proses.

"Yang itu saya baru masuk bab 14, tak tahu lah lagi sampai bab berapa pula yang itu," katanya sedikit ketawa kepada BebasMalaysia sebelum menambah memoir kedua beliau sudah siap dan akan dipasarkan tidak lama lagi.

Selain itu, memetik Roketkini, beliau turut menjelaskan betapa bahayanya fitnah oleh Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa DAP mahu menjadikan Malaysia negara republik.

"“Apabila Muhyiddin timbulkan isu yang sepatutnya bukan isu langsung, ianya akan memberi kesan bahaya kepada pihak istana, dan bukannya DAP," katanya dipetik dari Roketkini.

Walau pun begitu, Anak Apak tidak mengisahkan langsung megenai apa yang terjadi dua, tiga minggu lepas.

Sebaliknya, memoir ini mengisahkan pahit manis permulaan kehidupan beliau sebermula penghijrahan Datuknya ke Tanah Melayu sehinggalah kepada kehidupan awal Subky sebagai wartawan.

"Jilid satu memoir tentang Anak Apak ini berakhir setakat saya mula melangkah ke alam pekerjaan.

"Anak Apak meliputi hikayat kehidupan dan ingatan alam kehidupan saya pada zaman kanak-kanak, persekolahan dan remaja," katanya dalam ruangan Kata Pengantar Anak Apak.

Jelas Subky yang terkenal dengan tulisan-tulisan pojok ketika di Utusan Malaysia kepada penulis yang belum pun sempat membaca Anak Apak ketika itu, dua memoir beliau nanti ialah mengenai kehidupan berdikarinya dan memoir pelengkap trilogi pula ialah mengenai pengalaman beliau sendiri dalam dunia politik.

Dua naskhah yang bakal terbit itu sudah pun mempunyai namanya yakni Propagandis Zaman dan diakhiri dengan Manis-manis Politik.
Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 comments

Leave a Reply